PERTUNJUKAN belon udara panas yang julung kali diadakan sempena Hari Wilayah pada 19 hingga 22 Mac.
PUTRAJAYA: Sebanyak 25 belon udara panas dari seluruh dunia akan mengambil bahagian Pertunjukan Belon Udara Panas Antarabangsa yang akan diadakan di sini pada 19 hingga 22 Mac depan.
Pertunjukan julung kali yang diadakan di kawasan letak kereta Monumen Alaf Baru, Presint 2 dekat sini akan disertai peserta dari Perancis, Jerman, Jepun, Belgium, Thailand, New Zealand, Korea, Filipina, Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.
Timbalan Presiden Persatuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Kapten Khairudin Rani, berkata pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai bentuk dan warna belon yang akan dipertontonkan kepada orang ramai.
"Berikutan ia pertama kali diadakan di Putrajaya, kami akan memastikan penonton berpuas hati," katanya pada pelancaran pertunjukan belon udara panas itu di sini, semalam.
Khairudin berkata, pertunjukan julung kali itu diharap menjadi landasan kepada Malaysia untuk menganjurkan lebih banyak pertunjukan sama seperti di Albuquerque, Amerika; Bristol (United Kingdom) dan Saga (Jepun) yang mampu menarik jutaan pengunjung.
Pertunjukan empat hari itu dibuka kepada orang ramai antara jam 7 pagi hingga 7 petang secara percuma.
Untuk maklumat lanjut hubungi 03-7494 0298 atau layari laman web di
www.myballoonfiesta.com